|
SESUATU KEJADIAN PASTI ADA HIKMAHNYA. |
|
|
|
|
|
|
#copyandpastedarifb#
Kadangkala aku terfikir. Mengapakah Allah sering menguji hambaNya dengan sesuatu kejadian? Pelik bagi seorang pelajar agama yang menanyakan soalan begitu kepada dirinya sendiri. Walaupun aku sudah mengetahui jawapannya, acap kali keraguanku muncul terhadap jawapan itu.
Jam locengku berbunyi. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mataku. Ternyata aku terlelap ketika sedang berwirid setelah selesai solat Subuh. Aku tidur bersila di atas sejadah bapaku. Rakan-rakan sebilikku sedang menyiapkan diri mereka untuk ke kelas pagi.
"Akhi Yusuf tak ke kelas?" tanya Zul. "Lewat sedikit. Kelas ana bermula jam 9 pagi," aku menjawab.
Zul sekadar mengangguk. Yang lain sepertinya tidak ambil peduli dengan perbualan kami sebentar tadi. Zul, Ikram dan Hilman adalah rakan-rakan sebilikku. Mereka sudah tinggal bersamaku sejak semester pertama lagi. Kini kami sudah seperti adik-beradik kandung. Aku, pastinya, menjadi seorang abang kepada mereka. Bukan kerana umur. Tetapi kerana aku lebih matang daripada mereka. Kadang-kadang aku yang terpaksa mengejutkan mereka untuk bangun menunaikan solat Subuh. Bukannya mereka mahu mengunci jam sendiri.
Setelah mereka meninggalkan aku, aku terus ke bilik mandi untuk membasuh mukaku. Allahurabbi. Mereka terlupa untuk menutup paip air sehingga air sudah bertakung di dalam bilik mandi itu. Tambahan pula besen telah menutup saluran air. Pasti bilik ini akan banjir jika aku tidak membuka pintu bilik mandi tadi. Mungkin ini adalah salah satu hikmah Allah menemukan aku dengan mereka. Jika tidak, kacau bilau jadinya.
Sengaja aku keluar awal dan menuju ke kafeteria untuk mendapatkan sarapan pagi. Aku melihat jam tanganku. Masih menunjukkan pukul 8 pagi. Masih ada lagi satu jam untuk aku bersarapan. Sudah menjadi tabiatku untuk pergi ke kafeteria sebelum menghadiri kelas. Dengan satu jam itu, aku boleh mengisi masa lapang aku dengan merujuk penterjemahan al-Quran.
Usai bersarapan, jam pun sudah menunjukkan pukul 8.35 pagi. Aku keluar dari kafeteria dan menuju ke blok dewan kuliah. Pagi yang tenang, masyaAllah, mengingatkan aku betapa cintanya Allah kepada makhluk yang beriman kepadaNya. Sering kali membuatku terfikir, adakah aku juga dalam golongan yang beriman?
Sepanjang perjalananku, aku memikirkan tentang nasibku di alam akhirat kelak. Seram sejuk aku dibuatnya. Aku takut aku akan diletakkan bersama golongan yang kufur kepadaNya. Astaghfirullahal'azim. Mataku berair.
Aku terlihat seorang pelajar lelaki di seberang jalan. Aku tidak dapat mengecam lelaki itu kerana mataku yang kini dibasahi oleh air mataku. Tiba-tiba, seorang sahabatnya memanggilnya dari belakang dan menghulurkan beg dompetnya yang berwarna coklat tua. Kemungkinan pelajar itu terlupa untuk membawa beg dompetnya ketika keluar dari asrama.
Tak jauh dari situ berdirinya seorang tukang kebun yang sedang menyiram pokok bunga. Cemerkap. Dia secara tidak sengaja terjirus air ke atas laluan pejalan kaki. Habis basah laluan itu. "Allah!" dia menjerit. Aku menggelengkan kepalaku lalu meneruskan perjalananku ke kelas. Jam sudah menunjukkan pukul 8.45 pagi.
Sedang aku asyik berjalan kaki, tiba-tiba bahuku dilanggar oleh seorang pelajar lelaki. Hampir tersungkur aku dibuatnya. "Maafkan ana!" katanya tanpa menoleh kebelakang. Tidaklah aku berasa marah. Husnuzon. Mungkin dia sudah terlewat ke kelas. Nampaknya bukan aku seorang sahaja yang menjadi mangsanya. Seorang pelajar muslimah juga turut dilanggarnya. Habis terlepas semua buku-bukunya lalu jatuh ke tanah. Pelajar lelaki itu turut tersungkur dan buku-bukunya juga turut mencium bumi. "Maafkan..."
Selebih dialognya dengan muslimah itu tidak didengari kerana deruman kereta Kelisa telah membingitkan suasana. Mungkin pemandunya juga sudah terlewat agaknya. Kenapalah hari ini ramai sangat orang yang terlewat? Terlupa untuk mengunci jam locengkah?
Aku menoleh ke arah muslimah itu. Kini dia sedang dibantu oleh seorang muslimah yang bertudung biru muda dan berniqab. Indah. Astaghfirullahal'azim. Aku telah mengizinkan nafsuku untuk mengawal mindaku. Tetapi aneh. Pelajar lelaki itu sudah hilang dari pandanganku. Ghaib entah ke mana. Aku melihat jam aku sekali lagi. Hanya tinggal lagi 10 minit untuk aku ke kelas. Alhamdulillah. Tidak jauh lagi.
Aku berada di dalam dewan kuliah. Sedang menunggu pensyarahku untuk memulakan pembelajaran pada pagi itu. Aku memutar-mutarkan pen biruku. Sedang dihantui oleh kebosanan. Jam sudah menunjukkan pukul 9.05 pagi. Pensyarah lewat.
Tiba-tiba hatiku terbisik. Adakah segala apa yang berlaku di hadapanku sebentar tadi terdapat hikmahnya? Adakah Allah telah menetapkan takdir mereka untuk berada dalam situasi itu? Apakah wujudnya hikmah itu? Allah. Astaghfirullahal'azim. Aku telah meragui keEsaanNya. Diam! Aku menjerit dalam fikiranku.
Apakah ada hikmahnya?
Masa terhenti. Semua orang membeku. Aku sahaja yang mampu bergerak. Aku tidak berasa aneh kerana itu adalah sebahagian daripada imaginasiku. Aku membuka kanta jam tanganku dan memutarkan jarum jam tersebut kepada arah yang berlawanan. Perlahan-lahan, pelajar-pelajar yang berada di dalam dewan itu bergerak secara terbalik.
Ada pelajar yang berjalan ke belakang. Yang sedang memadam papan hitam seolah-olah mencontengnya kembali dengan pemadam. Dakwat pen pelajar disebelahku seakan-akan disedut kembali ke dalam pennya.
Tubuhku juga telah tertunduk kepada perjalanan masa yang aneh itu. Aku bergerak secara terbalik, tetapi mindaku masih boleh berfikir dengan baik. Sepertinya, doaku sedang dimakbulkan oleh Allah.
Aku keluar dari dewan itu sambil berjalan ke belakang dan menarik tutup pintu dewan itu. Seluruh dunia sedang akur dengan perjalanan masa yang terbalik itu. Kereta berundur, air diserap kembali ke dalam pancurannya, dan burung-burung terbang ke belakang.
Aku kembali ke tempat di mana pelajar lelaki itu bertembung dengan seorang pelajar muslimah. Dua orang muslimah yang sepatutnya berjalan bersama-sama kini terpisah dan pelajar lelaki itu kembali ke tempat di mana dia terlanggar muslimah itu. Buku-buku yang bertaburan di tanah seakan-akan ditarik balik ke dalam dakapan mereka kononnya mereka menggunakan kuasa telekinesis. Kereta Kelisa tadi pun berundur dengan laju. Bunyi derumannya pun agak aneh.
Aku terfikir sesuatu...
Aku mengerti situasi itu...
Aku terjumpa hikmah kejadian itu...
Aku terlihat pada tag nama muslimah berniqab tadi. Namanya Suhaida. Dan muslimah yang dilanggar oleh pelajar lelaki itu namanya Syuhada. Mereka adalah sahabat karib yang sudah lama terpisah dan kerana kejadian itu mereka ditemukan kembali. Jika Syuhada tidak dilanggar oleh pelajar lelaki itu, sudah tentu Suhaida tidak akan terjumpa dengan Syuhada.
Pelajar lelaki itu pula, pasti akan melambung tinggi kerana ditabrak oleh kereta Kelisa yang laju tadi. Aku bukanlah seorang pelajar Fizik, tetapi dengan kelajuan begitu, seorang manusia mampu menjadi sekeping penkek jika digilis atau dilanggar oleh kenderaan seperti itu. Kerana dia terlanggar Syuhada, kejadian itu telah melengahkan sedikit masa supaya kereta Kelisa itu dapat meninggalkan tempat itu dengan selamat.
Aku kembali berjalan ke belakang. Dan kini aku kembali ke tempat pelajar lelaki yang terlupa membawa beg dompetnya. Ketika itu aku sedang menangis. Maka air mataku diserap kembali ke dalam saluran air mataku. Kini jelaslah wajah pelajar lelaki itu. Namanya Taufiq. Dia seorang pelajar yang berwawasan tinggi. Dia pernah memberitahuku bahawa hari ini dia akan menghadiri sesuatu temu duga untuk dia dilantik sebagai seorang ketua kepada Persatuan Bahasa Arab.
Maka aku terfikir, apakah hikmah disebalik kejadian ini? Akankah sesuatu benda yang kecil seperti beg dompet menyelamatkan dia daripada ditimpa musibah?
Ya. Tukang kebun yang cemerkap itu. Jika Taufiq tidak terlupa untuk membawa beg dompetnya, sudah pasti dia akan dicurah dengan air oleh tukang kebun itu. Pasti dia akan basah kuyup dan menyebabkan dia kembali ke asramanya yang agak jauh dari situ. Hal ini akan menyebabkan dia terlewat untuk menghadirkan diri ke temu duga itu. Pasti jawatan ketua itu akan diberikan kepada orang lain. MasyaAllah.
Tiada apa yang menarik berlaku di kafeteria kecuali aku membaca al-Quran secara terbalik dan aku memuntahkan kembali nasi lemak ke dalam bungkusannya. Jijik.
Aku kembali ke bilikku. Walaupun hikmah untuk situasi ini sudahku jangka, tetapi aku mahu memastikan bahawa jangkaanku betul. Situasi di bilik mandi di mana rakan-rakanku terlupa untuk menutup air. Tidakkah air akan membanjiri bilik kami jika aku tidak menutup air pada paip itu? Ya, tetapi sesuatu yang lagi teruk akan berlaku. Bukan setakat banjir sahaja.
Aku kembali bersila di atas sejadah bapaku. Zul, Ikram dan Hilman pulang ke bilik itu juga. Perbicaraan antara aku dan Zul dilakukan secara terbalik dan bahasa yang kami gunakan agak aneh juga. Mereka semua kembali ke katil masing-masing dan terlena. Begitu juga dengan aku. Tidak lama kemudian aku terjaga dan terlihat album sijilku terletak di sebelah katilku.
Ya Allah!
Jika bilik ini banjir, sudah pasti semua sijilku akan rosak! Semester ini adalah semester terakhir dan selepas ini aku memerlukan sijil-sijil itu untuk mencari pekerjaan di luar sana. Allah telah menyelamatkan masa depanku! Alhamdulillah! Allah Ya Rahman! Mengalir air mataku kerana meragui kehebatan Allah SWT. Astaghfirullahal'azim! Aku sudah mengerti definisi hikmah itu.
Sekali lagi aku membuka kanta jam tangan aku dan memutarkan jarum jam ke arah yang sepatutnya. Masa berjalan pantas. Sekali lagi aku menyaksikan segala kejadian itu dengan laju. Akhirnya aku tiba juga ke dalam dewan itu. Dan aku masih memutar-mutarkan pen aku.
Tiba-tiba seseorang menepuk bahuku dari belakang. "Pagi-pagi akhi Yusuf sudah mengelamun. Fikirkan apa? Calon zaujah ke?" tegur Hafizul. Aku hanyalah berimaginasi. Situasi menterbalikkan masa tadi tidak benar. Hanyalah bayanganku sahaja. Aku hanya mahu memahami hikmah disebalik kejadian-kejaidan tersebut.
Aku tersenyum dan memandang ke arahnya. "Unikkan segala ketentuan Allah itu? Segalanya ada hikmah tersendiri. Allah suka menguji hambaNya. Supaya kita bersyukur dengan segala pemberianNya kepada kita. Tapi itulah. Manusia ni kadang-kadang mengeluh ketika diuji. Kata hidup ini tak adillah, susahlah. Tapi sebenarnya ujian itu adalah bukti yang Allah sayangkan kita. Mesti ada kebaikan yang datang menyusul setelah kita melalui ujian itu. Cuma kita sahaja yang tak sedar," aku berkata.
"Na'am akhi," katanya. "Ana pernah diuji dahulu. Ketika itu ana berada di tingkatan satu. Baru sahaja ayah ana belikan PS2 untuk ana. Tiba-tiba sebelum pulang, ana terpaksa menghadiri mesyuarat kelab pula. Ana menyumpah dan mengeluh kerana tidak sabar untuk pulang ke rumah untuk menghadap PS2 itu. Apabila ana pulang ke rumah, rumah ana telah dirompak. Jika ana ketika itu sedang asyik bermain PS2, sudah pasti ana akan dijadikan tebusan oleh penjahat-penjahat itu. Allah sayangkan ana, tetapi ana sahaja yang tak sayangkan Allah."
""Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami terlupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." Itulah apa yang Allah katakan dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-286. Pada baris pertama, Allah sudah menjelaskan bahawa akan ada ganjaran jika kita menjalani ujian itu dengan tabah dan tenang. Maka mana satu nikmat Allah yang hendak kita dustakan?" aku menyambungkan hujahku.
"Akhi soleh, semoga kita tergolong dalam golongan mukminin yang bersyukur," dia berkata dengan syahdu.
"InsyaAllah," aku menjawab.
iLeee · Fri May 10, 2013 @ 07:51pm · 0 Comments |
|
|
|
|
|